SPRM hulur bantuan segera kepada warga kerja terjejas bencana banjir

Tarikh: 01/12/2025
img

Kangar: Bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini menyebabkan beberapa rumah milik pegawai dan warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengalami kerosakan harta benda.


Bagi meringankan beban dihadapi, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong yang mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pengurusan tertinggi SPRM mengadakan misi menghulurkan bantuan segera serta meninjau keadaan mangsa banjir.


Nazli berkata, seramai enam pegawai SPRM yang tinggal sekitar Padang Besar, Kangar serta Arau dibantu dan langkah itu menunjukkan solidariti serta keprihatinan SPRM terhadap warga kerja yang menghadapi musibah.


Beliau berkata, sumbangan kewangan dan bantuan lain disalurkan melalui gabungan dana daripada Yayasan Prihatin SPRM, Jawatankuasa Kebajikan Ibu Pejabat SPRM serta Kelab Sukan dan Rekreasi SPRM Kedah, dengan tujuan membantu mangsa memulakan kerja pemulihan rumah pasca banjir.


"Komitmen SPRM terhadap kebajikan pegawainya tidak pernah luntur, dan kerjasama ini menunjukkan semangat kekeluargaan yang menjadi teras kepada suruhanjaya ini.


"Saya berharap sumbangan dan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan rumah ini dapat meringankan beban mangsa serta memberi semangat kepada mereka menghadapi bencana banjir ini," katanya.


Rombongan SPRM Kedah itu turut melawat kediaman Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani yang terjejas akibat gelombang Monsun Timur Laut, sebelum berkunjung ke rumah pegawai SPRM lain yang mengalami kerosakan.


Sumber: Berita Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel