SPRM jamin siasatan pelaburan FashionValet dibuat secara profesional, adil

Tarikh: 04/11/2024
img

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini memberi jaminan siasatan kerugian pelaburan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) akan dilakukan secara adil dan profesional.

Beliau berkata, siasatan itu penting kerana pelaburan berkenaan membabitkan penggunaan dana awam dan menjadi isu berkepentingan awam.

"SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam satu perniagaan fesyen dalam talian tempatan.

"Kita memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan secara adil dan profesional," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memberi ruang untuk siasatan dilakukan serta mengelakkan spekulasi dan 'perbicaraan awam' terhadap pihak yang terbabit.

Hari ini, BH melaporkan, penyiasat SPRM sudah memulakan siasatan berhubung isu kerugian pelaburan dalam FashionValet.

Ia susulan, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar turut memberi respons mengenai isu itu dengan berkata, akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang itu.

Kelmarin, PNB dan Khazanah dilapor perlu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata, rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Usahawan fesyen, Vivy dan Fadzaruddin turut memberi respons mengenai isu itu dengan berkata, akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang itu.

Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram mereka malam tadi, pasangan berkenaan berkata, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat itu.

Malah turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik COVID-19.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel