SPRM, Kastam cadang tubuh pasukan petugas khas pantau penguatkuasaan, kutipan cukai di pelabuhan strategik

Tarikh: 16/07/2026
img

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bercadang menubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau aktiviti penguatkuasaan dan kutipan cukai di pelabuhan strategik negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata cadangan itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah JKDM, Datuk Amran Ahmad di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua agensi turut berkongsi dan bertukar pandangan mengenai cabaran dalam pelaksanaan tugas khususnya aspek urusan pemeriksaan kastam serta cabaran kerenah birokrasi termasuk pelbagai isu domestik JKDM.

Pertemuan strategik berlangsung sejam itu menjadi platform perkongsian dua hala mengenai peranan dan fungsi JKDM termasuk membincangkan mekanisme untuk membanteras ketirisan pengurusan kontena yang di bawah bidang kuasa JKDM di pelabuhan-pelabuhan seluruh negara.

Sementara itu, Amran berkata, JKDM turut mendedahkan taktik sindiket yang mengelakkan daripada pembayaran cukai termasuklah kes penyeludupan dan pemalsuan maklumat atau dokumen di bawah kelulusan berbeza.

Beliau berkata, JKDM turut mengesan modus operandi pengisytiharan palsu wang tunai di mana jumlah yang dibawa masuk diisytiharkan pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding sebenar.

Dalam pada itu, JKDM mengalu-alukan penglibatan SPRM dalam pembudayaan integriti menerusi ceramah antirasuah kepada warga JKDM.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datul Mohd Hafaz Nazar dan Ketua Cawangan Integriti JKDM, Azian Umar.


Sumber :  Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel