SPRM Kelantan perkukuh pendekatan cegah rasuah lebih strategik, bersasar tahun depan

Tarikh: 26/11/2026
img

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan terus memperkukuh pendekatan pencegahan rasuah secara lebih strategik, proaktif dan bersasar tahun depan.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Syamsul Osman, berkata pendekatan berkenaan dengan memberi tumpuan kepada pendidikan masyarakat, pengukuhan tatakelola dan usaha mengenal pasti risiko rasuah, sebelum sesuatu penyelewengan berlaku.

Beliau berkata, pendekatan itu menjadi keutamaan bagi memastikan agenda membudayakan integriti di Kelantan terus relevan dan mampu memberikan impak lebih besar khususnya dalam sektor awam, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat.

"Fokus utama tahun depan ialah memperluas pendidikan dan kesedaran antirasuah, memperkukuh komitmen kepimpinan organisasi dan meningkatkan keberkesanan program intervensi pencegahan dengan kerjasama strategik pelbagai pihak.

"SPRM Kelantan mahu memastikan usaha pencegahan tidak hanya tertumpu kepada penyampaian mesej kesedaran, sebaliknya turut menjurus kepada tindakan mengenal pasti ruang, kelemahan dan risiko yang boleh membuka peluang kepada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

"Pendekatan lebih awal ini penting bagi membolehkan langkah penambahbaikan dilaksanakan sebelum sesuatu salah laku berlaku," katanya di sini, hari ini.

Mengulas pencapaian tahun ini, Syamsul berkata, Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Kelantan berjaya melaksanakan 147 aktiviti antirasuah merangkumi 101 ceramah jemputan dan 54 program integriti serta pendidikan antirasuah.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu merangkumi sesi libat urus, kunjungan hormat, Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan pameran pendidikan antirasuah yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel