SEPANG: Sebanyak 10 resolusi berjaya dimuktamadkan pada
Persidangan Penyelidikan Governans, Intergriti dan Antirasuah 2023 anjuran
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi persidangan yang juga Pengarah Bahagian Perancangan
Governans Nasional (BPGN), Datuk Abd Aziz Aban berkata, kesemua resolusi itu
akan diteliti dan dipertimbangkan kerajaan.
Beliau berkata, resolusi pertama yang dikemukakan adalah kepada
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya dapat mengguna pakai ‘Instrumen Index
Scoring’ yang dibangunkan dalam mengukur tahap berkecuali dan kesaksamaan dalam
kalangan penjawat awam.
“Resolusi kedua adalah memperkukuh dan menyelaraskan kawalan
sempadan di semua pintu masuk negara bagi mengelakkan sebarang ancaman dan
ketirisan hasil negara.
“Resolusi ketiga pula adalah merealisasikan penggubalan Rang
Undang-Undang Perolehan Kerajaan dalam mengawal selia urusan perolehan bagi
mengelakkan ketirisan dan memastikan kebertanggungjawaban semua pihak.
“Seterusnya, resolusi keempat adalah meminda Akta Kerja 1955 (Akta
265) untuk merangkumi keperluan mengawal selia sektor tidak formal; dan
mewujudkan entiti khusus yang mengawal selia sektor tidak formal,” katanya
ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Katanya, resolusi kelima ialah memastikan tata kelola baik di
entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan dengan mewujudkan suatu definisi
yang jelas berhubung Syarikat Milik Kerajaan-(SOE) dan mewujudkan perundangan
khas bagi mengawalselia entiti berkepentingan milik kerajaan.
Abd Aziz berkata, resolusi keenam pula adalah mempertingkatkan
pendidikan dan hebahan kepada masyarakat awam berhubung tatacara dan peraturan
penguatkuasaan agensi-agensi pengangkutan.
Menurutnya, resolusi ketujuh ialah mewujudkan perundangan yang
mewajibkan pelaksanaan Environmental Impact Assessment (EIA) dengan hukuman
berat ke atas ketidakpatuhan; dan mengukuhkan perundangan sedia ada bagi
mengenakan hukuman berat ke atas sebarang perlakuan yang mengakibatkan
kemusnahan alam sekitar.
“Bagi resolusi kelapan, menangani isu campur tangan oleh pihak
politik dalam projek pembangunan sektor luar bandar dan pemberian bantuan
kepada golongan sasar.
“Manakala, resolusi kesembilan, memperluas dan mempercepatkan
pelaksanaan pertukaran pegawai antara pihak berkuasa tempatan; dan membuat
pindaan terhadap Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) untuk
memasukkan peruntukan yang mengawal negotiating development contributions di
dalam Pelan Kebenaran Merancang
“Resolusi terakhir ialah meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta
576) khususnya berkaitan kesalahan rasuah, pelanggaran integriti serta tata
kelola dan kebertanggungjawaban melibatkan ekosistem pembangunan sukan dalam
negara,” katanya.
Persidangan dua hari itu berjaya mengumpulkan 10 kumpulan
penyelidik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang
tampil membentangkan hasil kajian selama enam bulan.
Hasil kajian antaranya merangkumi sektor penguatkuasaan,
pembangunan luar bandar, alam sekitar, berkecuali dan kesaksamaan dalam
pentadbiran awam, perolehan awam, pengangkutan, pihak berkuasa tempatan (PBT),
SOE, sukan dan sektor tidak formal.
Sumber: Utusan Malaysia