"Difahamkan masih terdapat beberapa juta ringgit yang belum dibayar oleh syarikat kepada suspek seperti dipersetujui dalam perjanjian mereka," katanya.
Kelmarin, media melaporkan pengurus projek syarikat pembinaan itu sanggup membakar wang tunai hampir RM1 juta selepas dikejutkan dengan serbuan SPRM menerusi Op Ways, Khamis lalu.
Sumber dilaporkan berkata, ketika serbuan di rumahnya di Petaling Jaya, pasukan pegawai SPRM menemui wang kertas RM100 berjumlah hampir RM1 juta dalam keadaan sudah terbakar.
Hasil pemeriksaan menyeluruh di rumah suspek, SPRM menemui wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan di dalam beberapa kotak bantal, tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier, selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.
Jumaat lalu, suspek bersama isteri serta dua pengarah syarikat ditahan dipercayai berkait kes rasuah membabitkan perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.
Pengurus projek itu direman tujuh hari, isterinya direman tiga hari, manakala dua lelaki bergelar pengarah syarikat direman lima hari.
Sumber BH Online.