KUALA LUMPUR: Setiap tindakan berkaitan pengagihan zakat oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) perlu diketahui dan dipertimbang oleh badan itu.
Pengarah kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, berkata pihaknya mengesan ada isu membabitkan tadbir urus di MUIS khususnya membabitkan Bahagian Zakat dan Fitrah.
Beliau berkata, MUIS seharusnya mengetahui tindakan sebelum sesuatu perbelanjaan atau apa-apa perkara dilakukan dalam agenda berkenaan.
"MUIS perlu meletakkan had nilai munasabah dalam perbelanjaan atau apa-apa berkaitan, termasuk dimaklumkan terlebih dahulu serta memberi pertimbangan sewajarnya.
"Ini antara aspek tadbir urus yang dikenal pasti oleh SPRM Sabah dan sembilan syor penambahbaikan tadbir urus pada amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan agihan wang zakat dalam Manual Prosedur Pengurusan Agihan Zakat (Pindaan 2023) di Bahagian Zakat dan Fitrah, MUIS," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beberapa tahun lalu, beberapa pihak meminta SPRM menyiasat MUIS atas dakwaan wujud salah guna kuasa dalam urusan pentadbirannya, termasuk berkaitan ketidakpatuhan pengurusan wang zakat.
Mohd Fuad berkata, antara cadangan itu adalah memperkemaskan tadbir urus dalam pengurusan agihan zakat, khususnya membabitkan kakitangan yang bertanggungjawab dalam urusan berkenaan di negeri itu.
"Menambah baik Perkara 5.3.1 dan Perkara 5.3.2 dalam Manual Prosedur Pengurusan Agihan Zakat (Pindaan 2023) iaitu memperincikan 'individu' kepada kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah dan memperincikan manual berkaitan 'organisasi' iaitu merujuk kepada Ejen Pungutan Zakat.
"Cadangan lain ialah menambah bahagian yang terbabit secara langsung iaitu kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat seperti pungutan, agihan dan urusan kewangan di bahagian itu," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali, berkata badan itu bersetuju mengambil tindakan bagi mengatasi kelemahan yang dikemukakan oleh SPRM Sabah.
"MUIS menyambut baik cadangan penambahbaikan malah berterima kasih kepada SPRM Sabah kerana membantu MUIS dalam usaha untuk menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan," katanya.
MUIS turut menandatangani dokumen Laporan Penambahbaikan Tadbir Urus yang diadakan di pejabat MUIS pada Jumaat lalu.
Sumber: Berita Harian Online