SPRM kesan wujud aktiviti terima suapan secara terancang

Tarikh: 09/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), mendapati wujud aktiviti penerimaan suapan secara terancang berlaku dalam kalangan pegawai tentera.

BH difahamkan, tumpuan SPRM ketika ini adalah menyiasat dakwaan rangkaian rasuah yang berlaku dalam pasukan berkenaan.

Sumber berkata, siasatan SPRM mengesan terdapat kemungkinan beberapa pegawai tentera lain turut memainkan peranan dalam kes rasuah itu.

"Permohonan reman tujuh hari membabitkan bekas panglima yang juga suspek utama kes itu adalah bertujuan untuk menyiasat dakwaan penerimaan wang rasuah yang dilakukan secara terancang.

"SPRM juga sedang mengesan pembabitan beberapa pegawai lain, sekali gus menunjukkan wujudnya rangkaian rasuah lebih luas dalam aktiviti perolehan agensi berkenaan," katanya kepada BH, semalam.

Terdahulu di Mahkamah Putrajaya pagi semalam, Majistret Ezrene Zakariah membenarkan SPRM menahan reman seorang bekas Panglima TDM bergelar Tan Sri, selama tujuh hari bermula semalam sehingga Rabu depan.

Sementara, dua isterinya yang turut ditahan SPRM, masing-masing dikenakan tahanan reman selama tiga dan enam hari bagi membantu siasatan kes sama.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman itu.

"Orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek itu dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada jam 10.02 pagi untuk proses permohonan reman bagi membantu siasatan kes rasuah yang membabitkan seorang pegawai kanan ATM.

Sebelum itu, ketiga-tiga mereka dilihat memakai baju tahanan berwarna oren serta bergari, tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya pada jam 10.02 pagi tadi sebelum dibawa masuk ke pekarangan mahkamah.

Selain tiga individu itu, sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat turut direman selama tujuh hari.

Ia menjadikan seramai lima individu ditahan SPRM setakat ini, bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Kesemua suspek berusia di antara 20 hingga 50-an ditahan kira-kira jam 3 petang kelmarin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Tangkapan itu adalah susulan terhadap siasatan dijalankan SPRM terhadap dakwaan rasuah dalam tender perolehan TDM sejak beberapa minggu lalu.

Enam akaun bank dibeku 

Susulan tangkapan itu juga, SPRM membekukan enam akaun bank dipercayai milik seorang bekas pegawai kanan TDM dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan perolehan itu.

Azam ketika mengesahkan perkara itu, berkata satu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.

Pasukan penyiasat SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada 23 Disember lalu, bagi menyiasat projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) TDM sejak 2023.

Susulan itu, pada 24 Disember SPRM memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes tersebut.

Pada 6 Januari lalu, SPRM memperoleh perintah menahan reman 17 pengarah syarikat berusia 20 hingga 60an, selama lima hari sehingga Sabtu ini, kerana disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM.

Tangkapan itu dibuat selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap 26 syarikat yang terbabit dalam tender perolehan TDM di Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang.

BH difahamkan, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan TDM sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan dengan agensi itu.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus, yang mengesahkan penahanan reman 17 pengarah syarikat berkenaan, berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel