SPRM kongsi kepakaran bersama BIGONS perkasa usaha pencegahan rasuah

Tarikh: 11/11/2025
img

Kota Kinabalu: Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGONS) terus memperkukuh usaha pencegahan rasuah dan penerangan isu integriti kepada orang ramai melalui sesi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sesi itu turut menampilkan wakil SPRM yang berkongsi pengalaman serta pendekatan dalam bidang jenayah rasuah kewangan dan pengurusan krisis komunikasi.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, pendekatan forensik kewangan wajar diterokai oleh BIGONS sebagai langkah strategik dalam memperluas skop pengesanan rasuah.

"Walaupun bukan keperluan utama ketika ini, melatih pegawai dalam bidang ini mampu membuka ruang baharu dalam usaha pencegahan rasuah kewangan," katanya ketika sesi perkongsian kepakaran BIGONS bersama SPRM, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff, menegaskan unit integriti memainkan peranan penting dalam memperkukuh keyakinan masyarakat melalui pengurusan komunikasi yang berkesan.

"BIGONS bukan sekadar melaksanakan pengesahan isu integriti, tetapi juga berperanan dalam merancang program pencegahan dan menyampaikan naratif yang tepat kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua BIGONS, Samsakiah Jamil, menyambut baik perkongsian tersebut dan menyifatkannya sebagai pemangkin kepada kerjasama strategik antara kedua-dua agensi.

Dalam sesi yang sama, Samsakiah turut berkongsi perancangan BIGONS bagi meningkatkan kerjasama strategik melalui penganjuran program dan kepelbagaian inisiatif antirasuah bersama SPRM sebagai tanda komitmen berterusan menjadikan integriti sebagai budaya pentadbiran.

Turut hadir dalam sesi itu, Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri Sabah, Awang Samsul Baharam Bungso.


Sumber : MyMetro Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel