SPRM kongsi kepakaran peringkat antarabangsa UNCAC

Tarikh: 11/08/2026
img

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewakili Malaysia sebagai Negara Pihak Penilai dalam Semakan Negara Kitaran Kedua di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) yang berlangsung di Port Vila, Vanuatu baru-baru ini.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.

SPRM berkata, penyertaan Malaysia sebagai Negara Pihak Penilai mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menyokong pelaksanaan UNCAC, di samping memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan rasuah, penguatkuasaan undang-undang dan pemulihan aset.

Menurutnya, semakan negara yang berlangsung selama tiga hari pada 3 hingga 5 Ogos lalu diadakan secara bersemuka di Law Reform Commission Vanuatu di bawah Mekanisme Semakan Pelaksanaan UNCAC.

"Bagi kitaran semakan ini, Malaysia dipertanggungjawabkan sebagai Negara Pihak Penilai untuk Bab II yang merangkumi langkah-langkah pencegahan, sementara Argentina bertindak sebagai Negara Pihak Penilai bagi Bab V yang memberi tumpuan kepada aspek pemulihan aset.

"Semakan bersemuka itu kesinambungan daripada penelitian dokumen yang telah dilaksanakan pada peringkat awal proses penilaian pada tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut SPRM, sesi itu memberi peluang kepada pasukan penilai untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta maklumat tambahan berhubung langkah-langkah yang telah diambil oleh Vanuatu dalam memenuhi keperluan di bawah UNCAC.

"Proses itu turut menentusahkan maklumat yang dikemukakan oleh Vanuatu menerusi Senarai Semak Penilaian Kendiri (Self-Assessment Checklist – SACL), selain mengenal pasti pencapaian, amalan baik, cabaran dan jurang dalam pelaksanaan konvensyen berkenaan.

"Bagi Bab II, semakan merangkumi dasar dan amalan pencegahan rasuah; badan pencegahan rasuah; sektor awam; kod tatakelakuan bagi pegawai awam; perolehan awam dan pengurusan kewangan awam; pelaporan awam; langkah-langkah berkaitan badan kehakiman dan perkhidmatan pendakwaan; sektor swasta; penyertaan masyarakat; serta langkah-langkah pencegahan pengubahan wang haram.

"Penilaian Bab V pula meliputi pencegahan dan pengesanan pemindahan hasil jenayah; langkah-langkah bagi mendapatkan kembali harta secara langsung; mekanisme mendapatkan kembali harta melalui kerjasama antarabangsa dalam pelucuthakan; kerjasama antarabangsa bagi tujuan pelucuthakan; kerjasama khas; pemulangan dan pelupusan aset; Unit Perisikan Kewangan; serta perjanjian dan pengaturan dua hala serta pelbagai hala," katanya.

Katanya, semakan itu diakhiri dengan sesi rumusan dan perbincangan mengenai tindakan susulan.

"Penyertaan Malaysia bukan sahaja membolehkan negara menyumbangkan kepakaran teknikal dalam pelaksanaan UNCAC, malah membuka ruang kepada pertukaran pengalaman dan amalan baik antara negara pihak.

"Hasil semakan akan digunakan bagi merangka syor penambahbaikan dan mengenal pasti keperluan bantuan teknikal yang bersesuaian untuk memperkukuh kerangka perundangan, keupayaan institusi serta pelaksanaan usaha pencegahan rasuah dan pemulihan aset di Vanuatu.

"Semakan itu turut melibatkan wakil Jawatankuasa Integriti dan Antirasuah Nasional (NIACC), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Unit Perisikan Kewangan, Pejabat Pendakwa Raya dan Pejabat Ombudsman Vanuatu. Wakil organisasi masyarakat sivil turut menyertai sesi rundingan bagi mengemukakan pandangan berkaitan pelaksanaan UNCAC di negara berkenaan," katanya.

Penglibatan SPRM dalam proses itu turut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa serta meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan rasuah dan pemulihan aset pada peringkat global.

Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM Datuk Rasidah Abdul Karim; Ketua Pegawai Integriti Kumpulan PETRONAS, Mohamad Faizal Sadri, Timbalan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Mohd Nur Lokman Samingan dan Ketua Cawangan Hal Ehwal Antarabangsa BDPP SPRM, Nik Nurzai Mohd Zainudin.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel