SPRM kuat kuasa sepenuhnya Seksyen 10, Akta Kesalahan Pilihan Raya

Tarikh: 10/08/2023
img

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menguatkuasa sepenuhnya Seksyen 10, Akta Kesalahan Pilihan Raya pada kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) yang sedang berlangsung sekarang.

 

Susulan itu, beliau berkata, calon dan parti yang bertanding sepatutnya memahami undang-undang yang wujud sejak 1954 itu lagi.

 

Katanya, calon yang bertanding juga adalah mereka yang berpelajaran dan berpengetahuan, sekali gus tidak seharus terbabit dalam kesalahan memberi sogokan untuk meraih undi.

 

"Selain Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya, turut dikuat kuasa ialah Akta SPRM 2009 iaitu membabitkan kesalahan pemberian wang atau sebagainya kepada pengundi bagi tujuan menyokong sesuatu parti. Ia satu kesalahan lazim.

 

"Mereka (calon dan parti) perlu faham undang-undang ini yang sudah wujud sejak 1954 lagi. Saya percaya mereka berpengetahuan dan berpelajaran tinggi, jadi sudah tahu (kesalahan sogokan undi)," katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bil 2/2022, di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Azam berkata, SPRM setakat ini menerima 11 laporan salah laku berkaitan PRN-15. Beliau berkata, dua laporan itu diterima di ibu pejabat SPRM, manakala sembilan lagi di pejabat negeri.

 

"Kita akan meneliti setiap laporan itu sebelum melihat keperluan untuk menyiasat atau sebaliknya," katanya.

 

Ditanya adakah SPRM menerima laporan seorang calon didakwa membuat sogokan RM200 ketika berkempen, beliau berkata, masih belum menerima aduan mengenainya.

 

 

Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel