"Antaranya program dialog SPRM bersama Jabatan Kerja Raya yang diadakan bagi memastikan jabatan itu meneruskan tata kelola yang baik dalam pengurusan projek," katanya dalam wawancara khas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya baru-baru ini.
Beliau berkata pada masa sama, SPRM turut mengambil pendekatan menyebarluaskan antirasuah menerusi pendidikan formal dan tidak formal di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta peringkat sekolah menengah dan rendah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Antaranya pelaksanaan Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) secara elektif yang telah ditawarkan kesemua Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta selain kursus KIAR Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi pelajar pengambilan sijil dan diploma," katanya.
Bagi program pendidikan tidak formal pula, SPRM menyasarkan pelajar sekolah rendah dan menengah melalui program Wira Anti Rasuah (WAR) serta program pertandingan bertema mengikut takwim KPM.
"Di peringkat pengajian tinggi pula, pengisian adalah berbentuk kelab seperti Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR), pertandingan Debat IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM, Konvensyen Mahasiswa Antirasuah, Konvensyen AMAR dan siri dialog mahasiswa bersama pegawai SPRM," katanya.
Razim berkata bagi pendekatan pendidikan tidak formal untuk masyarakat pula, ia disebar luas dalam program berbentuk kesedaran dan pengetahuan berkaitan antirasuah yang memfokus kepada golongan sasar.
"Ia dilaksanakan mengikut fungsi dan cawangan, contohnya jika agensi kerajaan, ia menyasarkan penjawat awam dan jika cawangan sosiobudaya pula, ia menyasarkan masyarakat dan pemimpin berpengaruh di dalam masyarakat," katanya.
Mengulas persepsi dan aspek keberkesanan program yang telah dianjurkan, Razim berkata 92.9 peratus daripada 6,471 responden terdiri daripada penjawat awam, pelajar, pekerja sektor swasta, orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO) memberikan maklum balas inisiatif yang dilakukan oleh SPRM itu sebagai amat baik.
Beliau berkata daripada 92.9 peratus responden itu, sebanyak 57.1 peratus merupakan penjawat awam; pelajar (24.7 peratus); pekerja sektor swasta (11.9 peratus); orang awam (4.3 peratus) dan NGO (1.9 peratus).
Dapatan itu diperoleh hasil Kajian Penilaian Keberkesanan Program Antirasuah SPRM 2022 yang dilaksanakan mulai 3 Mac 2022 selari dengan Seksyen 7(f) Akta SPRM 2009 iaitu mendidik dan mendapatkan sokongan masyarakat dalam memerangi rasuah.
Mengulas lanjut, Razim berkata hasil kajian itu juga mendapati sebanyak 93.8 peratus responden berpandangan segala tindakan membanteras rasuah yang dilakukan SPRM adalah sangat berkesan.
Katanya pada masa sama, SPRM akan memperkenalkan Kajian Mengenai Rasuah di Malaysia (MaCos) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), selaku agensi utama dalam bidang perangkaan.
Beliau berkata kajian itu akan melibatkan khidmat tenaga pakar serta bantuan teknikal daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) selain ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Kajian ini akan menggunakan kerangka konseptual berdasarkan indikasi persepsi, pengalaman dan data pentadbiran. Maka akan ada tinjauan-tinjauan yang akan dijalankan berasaskan modul penduduk, perniagaan dan penjawat awam," katanya.
Sumber: Astro AWANI