SPRM meterai MOU bersama ELMU

Tarikh: 16/10/2023
img

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Enforcement, Leadership & Management University (ELMU) sebagai langkah memperkasa kerjasama sedia terjalin antara kedua-dua pihak.

Memorandum persefahaman itu ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor ELMU, Datuk Dr Kassim Noor Mohamed ketika sesi pertemuan diadakan di Ibu Pejabat SPRM, di sini, semalam.

Menerusi MoU itu, SPRM dan ELMU bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang akademik serta perkongsian pengetahuan sekali gus dapat memberi manfaat dalam aspek penguatkuasaan dan pencegahan rasuah.

MoU itu membolehkan SPRM dan ELMU meneroka pelbagai bentuk kerjasama dalam membangun modul latihan bersesuaian membabitkan kepakaran kedua-dua pihak dalam bidang tertentu.

Ia juga membolehkan pegawai SPRM dan pelatih Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melengkapkan program di ELMU dalam pelbagai peringkat seperti Diploma, Ijazah, Sarjana dan Kedoktoran (PhD).

Turut hadir Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Idris Zaharudin; Pro-Canselor ELMU, Datuk Dr Husaini Omar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ELMU, Datuk Hairul Ridza Hayata dan PPj Pang Mai Teck.

ELMU adalah universiti pertama di Malaysia yang memberi program akademik meliputi semua peringkat asas hingga ke peringkat PhD serta kursus dan latihan dalam bidang penguat kuasaan, kepimpinan dan pengurusan.

ELMU menerima kelulusan untuk penubuhan universiti daripada Kementrian Pendidikan Tinggi berkuatkuasa pada 8 Februari 2022 dan dijangkakan pengambilan kumpulan pertama penuntut adalah pada Mac 2024.

Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel