GENTING HIGHLANDS: Ejen dan orang tengah yang dikenal pasti memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh terdekat.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang menegaskan, tahun ini SPRM akan memberi fokus kepada 'orang tengah' dan ejen.
Beliau berkata, beberapa sindiket membabitkan ejen dan pelobi rasuah kepada pegawai penguatkuasa sudah dalam radar pihaknya dan tindakan tegas akan diambil.
Katanya, fokus siasatan tahun ini dialihkan kepada kumpulan berkenaan selepas didapati kegiatan rasuah masih berulang walaupun tindakan diambil terhadap anggota penguat kuasa.
Beliau turut mendedahkan penguat kuasa yang korup di negara ini seolah-olah hanya menagih sisa habuan semata-mata, kerana ramai di antara mereka sebenarnya hanya menerima kurang 15 peratus daripada wang rasuah yang diberikan oleh sindiket.
Beliau berkata, ejen dan orang tengah menjadi pihak yang paling menguntungkan kerana bukan sekadar mengaut mendapatkan hampir keseluruhan wang rasuah itu, malah menjadi 'mastermind' sebenar mengatur perjalanan aktiviti rasuah.
"Beberapa tahun kebelakangan ini kita memberi fokus kepada anggota penguat kuasa, namun kita lihat perkara itu masih berulang. Justeru, fokus tahun ini kita akan 'attack' ejen, orang tengah dan sesiapa yang terbabit dengan agensi penguat kuasa.
"Kita sebenarnya sudah mengumpulkan beberapa sindiket yang didalangi ejen terbabit dan kita akan ambil tindakan yang tegas. Ada beberapa sindiket dalam radar. Semua ejen tidak kira di lapangan terbang, pelabuhan, membabit perolehan kerajaan dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Bengkel Kewartawanan SPRM di sini, hari ini.
Beliau berkata, SPRM sudah mengenal pasti beberapa sindiket yang didalangi ejen terbabit dan tindakan tegas akan diambil dan memberi amaran kepada sindiket terbabit supaya menghentikan aktiviti ini.
Ahmad Khusairi berkata, jumlah yang diterima oleh penguat kuasa dilihat sangat tidak berbaloi untuk mereka bersengkokol dengan sindiket, kerana bukan hanya berisiko untuk ditangkap dan dituduh di mahkamah, malah kehilangan kerja hakiki mereka.
"Bayangkan rasuah membabitkan penguat kuasa- penguat kuasa negara, jika wang rasuah untuk membawa masuk migran berjumlah RM6,000, mereka hanya peroleh kurang RM1,000 sahaja.
"Bagi jumlah itu dikaut oleh semua orang tengah dan adakah ia berbaloi untuk mereka mengorbankan integriti dan diambil tindakan apabila perbuatan itu dikesan oleh SPRM," katanya.
Sumber : Berita Harian Online