Rasuah menyebabkan negara kerugian sekitar RM277 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2018, menegaskan kepentingan isu yang membarah selama berdekad itu dinoktahkan andai tidak mahu negara dan rakyat terus kerugian.Bahagian terakhir daripada laporan bersiri tiga artikel ini menyentuh komitmen tinggi agensi dipertanggungjawabkan membanteras gejala rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta tindakannya dalam memerangi rasuah di semua sektor, khususnya perkhidmatan awam.
Rasuah di sektor awam antara cabaran terbesar yang terus membelenggu negara dengan integriti institusi awam kerap dipersoal oleh rakyat.
Lebih-lebih lagi pelaku melibatkan semua peringkat, dari kumpulan sokongan hingga peringkat tertinggi kepimpinan sesebuah institusi, mencetuskan tanggapan kegiatan itu adalah sistemik, merentasi pelbagai agensi dan sektor.
Bentuk-bentuk rasuah seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana, ketirisan peruntukan dan amalan tidak beretika bukan sahaja menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan awam tetapi juga merencat pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi.
Bagi membersihkan negara daripada rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiat usaha mengesan, menahan dan mendakwa pelaku, dan ironinya, statistik tangkapan dan pendakwaan di mahkamah itu juga membawa persepsi kegiatan rasuah begitu berleluasa di negara ini.
JUMLAH KES BUKAN PETUNJUK RASUAH BERLELUASA
Menjawab pertanyaan Bernama, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam jawapan bertulis, berkata walaupun ada sedikit peningkatan, statistik tidak menunjukkan trend peningkatan kes rasuah berterusan setiap tahun.
Sebaliknya kata beliau, statistik juga mencerminkan keberkesanan dan keupayaan SPRM dalam mengesan kes serta tahap keberanian masyarakat untuk tampil melaporkan salah laku.
Mengakui situasi rasuah di Malaysia masih di tahap yang memerlukan perhatian berterusan, beliau bagaimanapun menegaskan isu tersebut bukan sesuatu yang dapat diselesaikan dalam masa singkat, selain menuntut usaha yang konsisten dan menyeluruh melibatkan semua pihak.
Menurut beliau, antara yang membimbangkan ialah variasi kes berulang melibatkan agensi tertentu seperti kes “counter setting” yang masih berlaku saban tahun
"Kes ini amat membimbangkan kerana ia bukan isu rasuah semata-mata, tapi melibatkan aspek keselamatan dalam negara apabila warga asing yang bermasalah dan mungkin berada dalam senarai hitam diberi kebenaran masuk oleh sindiket yang bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara," katanya.
Mengulas lanjut, Azam berkata sepanjang 2025, SPRM telah memberi tumpuan bukan sahaja kepada kes berprofil tinggi, malah juga sebarang bentuk ketirisan dan “asset recovery” yang berkait jenayah rasuah.
Sehubungan itu, bagi 2026, strategi tersebut akan diteruskan namun dengan pendekatan yang lebih bersasar berdasarkan maklum balas laporan Transparency International (TI).
Beliau berkata walaupun laporan TI menyatakan Malaysia bebas daripada rasuah kecil, SPRM tetap komited dan menumpukan perhatian serius penemuan berkaitan kewujudan rasuah politik yang masih menjadi cabaran utama agensi tersebut.
“Jadi strategi 2026 kita kena tumpu pada sektor yang kita lihat bermasalah, iaitu penguatkuasaan, perolehan, ‘grand corruption’ (salah guna kuasa politik peringkat tertinggi) dengan menggunakan strategi serampang tiga mata iaitu penguatkuasaan, pencegahan, pendidikan.
“Meskipun cabaran semakin meningkat, agensi ini kekal beroperasi dengan kekuatan ‘manpower’ sedia ada… dengan pendekatan dan strategi tertentu kita akan mengoptimumkan penggunaan sumber manusia bagi meningkatkan keberkesanan setiap operasi yang dilaksanakan,” katanya.
Menurut Azam, pihaknya juga memahami kekangan kerajaan dalam memenuhi sepenuhnya keperluan agensi itu, dan bagi menampung kekurangan tersebut SPRM meningkatkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
“Kita berharap lebih banyak kejayaan dapat dicapai selepas ini, sepertimana kejayaan SPRM mengambil balik aset bernilai berbilion ringgit, termasuk pemerolehan semula aset berkaitan kes 1MDB yang mencecah RM31 bilion. Kejayaan ini menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara serta memberi manfaat langsung kepada rakyat dan pembangunan negara.
“Pada masa sama, usaha bersepadu SPRM bersama-sama agensi penguatkuasaan lain turut menyumbang kepada pencapaian Malaysia memperoleh status tertinggi ‘Regular Follow-Up’ dalam penilaian antarabangsa berkaitan pembanterasan pengubahan wang haram,” tambah Azam.
Katanya atas faktor berkenaan, SPRM memberi tumpuan dan penekanan penguatkuasaan kepada isu-isu melibatkan sektor penguatkuasaan, perolehan kerajaan, dana awam, “grand corruption”, kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
"Namun ingin saya tegaskan juga selain fokus pada penguatkuasaan, SPRM turut komited dalam usaha berterusan bagi memastikan tadbir urus yang telus serta berintegriti dalam mencegah jenayah rasuah daripada terus berlaku," katanya.
Sumber : Bernama