KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil kenyataan kira-kira 50 saksi lagi dalam siasatan terhadap pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya yang sebelum ini ditahan kerana disyaki meminta serta menerima rasuah pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata setakat ini 11 individu sudah ditahan termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat terbabit dengan 11 kertas siasatan sudah dibuka.
"Tadi saya mendapat makluman daripada pegawai siasatan, kertas siasatan sedang giat disiapkan, di mana setiap satu siasatan memerlukan tambahan lima ke enam orang saksi lagi.
"Jadi kalau 11 kertas siasatan maksimum dalam 50 orang saksi yang perlu dipanggil memberi keterangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad; Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji; Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak; Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Rezy Izwan Ramly dan Pengarah Jabatan Khas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Akmal Johari Ismail.
Azam berkata, banyak keterangan perlu dirakamkan daripada pihak kontraktor dan sebagainya.
Awal Julai lalu, media melaporkan, lapan individu termasuk seorang CEO dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman oleh SPRM kerana disyaki meminta serta menerima rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.
CEO bergelar Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi itu dan lima lagi individu yang juga pemilik sebuah syarikat direman bagi membantu siasatan.
Mereka ditahan menerusi Ops Lintas antara jam 8 hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Mereka kini dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman masing-masing berakhir, sementara kertas siasatan terhadap kes berkenaan sedang disiapkan oleh SPRM.
Sumber: Berita Harian