SPRM perlu buktikan tekad, komitmen banteras rasuah

Tarikh: 04/10/2023
img

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut ulang tahun ke-56 sejak ditubuhkan dengan nama Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 Oktober 1967. Kewujudannya empat tahun selepas pembentukan Malaysia itu, atas kesedaran rasuah dan salah guna kuasa bukan sahaja boleh merencatkan pembangunan negara baharu, bahkan boleh melumpuhkan pentadbiran dan menghancurkan masa depannya. Selepas hampir enam dekad, aspirasi itu pasti tidak berubah, bahkan harapan berkenaan makin bertambah apatah lagi rakyat kian celik, prihatin dan sensitif terhadap isu integriti dalam tadbir urus serta tatakelola kerajaan.

Kita menyambut baik komitmen dikongsi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki termasuk dalam tulisan di Muka Sepuluh akhbar ini, iaitu antara lain memfokuskan kes berprofil tinggi yang mengakibatkan kehilangan 'wang rakyat' dan mengatasi isu ketirisan dalam negara serta mengembalikan aset serta dana kerajaan dengan menggunakan teknologi baharu. Ini meletakkan agensi itu sebagai antara 'semak dan imbang' terpenting dalam usaha negara merancak serta meningkatkan semula ekonomi dengan lebih adil, telus dan berakauntabiliti terutama mengharungi cabaran pemulihan pascapandemik, kegawatan ekonomi, gangguan geopolitik serta krisis perubahan iklim.

Namun, kita mengingatkan 'kaki terdorong badan merasa, lidah terdorong emas padahnya', justeru tekad dikemukakan itu perlu disambut dan dibuktikan seluruh jentera agensi berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab termasuk menyiasat dengan telus serta berani tanpa dipengaruhi mana-mana pihak termasuk kuasa eksekutif atau parti politik baik kerajaan mahupun pembangkang. Dalam hal ini, kita menyarankan kerajaan menyegerakan kajian terhadap syor pelbagai pihak termasuk beckbancher sendiri supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen, bukan lagi Jabatan Perdana Menteri sebagai antara reformasi institusi yang menjadi tekad Kerajaan Perpaduan.

Dari aspek pemerkasaan operasi pula, kita meminta kerajaan meningkatkan keupayaan SPRM melalui penggunaan teknologi terkini termasuk Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seperti analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI) yang bukan sahaja kritikal dalam aspek penyiasatan dan pendakwaan, malah pemantauan serta pengesanan corak dan anomali mencurigakan, sekali gus menjadikan agensi itu lebih proaktif serta efisien. Pada masa sama, kita menyeru masyarakat memberikan sokongan dan kerjasama kepada agensi itu dalam usaha membanteras rasuah hingga ke akar umbi, bahkan perlu menanam perasaan benci serta sensitif terhadap jenayah terkutuk yang boleh menjahanamkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita yakin sekiranya komitmen membanteras rasuah dan salah guna kuasa dibuktikan SPRM dan direalisasikan setiap pemegang taruh daripada kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil dan rakyat sendiri, kita bukan sahaja dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam indeks penarafan antarabangsa, malah meletakkan negara di atas landasan sebenar seperti dihasratkan dalam Malaysia MADANI dan Ekonomi MADANI sebagai negara makmur dan dihormati serta peneraju ekonomi Asia.

Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel