SPRM perlu masa lengkapkan siasatan HRD Corp

Tarikh: 15/08/2024
img

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan ke atas agensi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan memerlukan masa meneliti semua aspek berkaitan pelaburan dan tatakelolanya.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika ini banyak lagi input yang pasukan penyiasat perlukan daripada banyak pihak dan semua isu yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) akan disiasat.

"Saya ingin ambil kesempatan ini untuk minta masa lagi, pegawai-pegawai saya beritahu mereka memerlukan masa lagi untuk siasat berkaitan pelaburan dan sebagainya.

"Siasatan kita bukan sahaja berkaitan jenayah rasuah atau salah guna kuasa, tetapi kita juga melihat kepada sistem dan prosedur, yang mana ia perlu dikaji betul-betul apabila dalam Laporan Ketua Audit Negara menyentuh isu tatakelola," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan SPRM membuka siasatan terhadap HRD Corp yang dilapor dalam LKAN Siri 2/2024 supaya dirujuk kepada agensi penguatkuasaan susulan kegagalan agensi itu dalam audit.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan matlamat penubuhan agensi itu.


Sumber: Harian Metro 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel