KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Shell Malaysia menganjurkan Program Shell Malaysia Business Integrity Day (SMBID) 2023 di Menara Shell, hari ini.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, program separuh hari itu dijalankan sebagai inisiatif memperkukuh kerjasama strategik antara mereka dan pemain industri minyak dan gas.
"Ini usaha berterusan dalam latihan dan komunikasi bagi memastikan perniagaan dijalankan dalam persekitaran bebas rasuah dan mendokong elemen tadbir urus baik Shell Malaysia.
"Shell yang merupakan sebuah syarikat antarabangsa komited supaya perjalanan aktiviti perniagaan dalam industri minyak dan gas bebas daripada sebarang bentuk rasuah," katanya.
Menurutnya, program itu dihadiri Pengarah Kewangan Shell Malaysia, Hilmi Yusof;Ketua Perundangan Shell Malaysia, Rodziah Zainudin dan Ketua Cawangan Swasta, dan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohd Hasraff Hashim
"Program itu menerima penyertaan seramai 1,350 kakitangan Shell Malaysia secara fizikal dan dalam talian.
"Selaras dengan nilai kejujuran dan integriti, Shell Malaysia menterjemahkan prinsip tersebut dengan menganjurkan SMBID 2023 dalam menyokong komitmen ke arah usaha pendidikan antirasuah kepada kakitangan Shell," katanya.
Katanya, sesi penerangan dan dialog disampaikan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Saiful Ezral Arifin dan Timbalan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Mohamad Faizal Sadri.
"Topik yang dikongsikan adalah mengenai kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 dan kesalahan pengubahan wang haram serta isu rasuah yang berlaku dalam industri gas dan minyak.
"Penekanan turut diberikan kesalahan kesalahan rasuah dalam bidang perolehan," katanya.
Sumber: Harian Metro