SPRM raih dua anugerah Hari Inovasi JPM 2026

Tarikh: 21/10/2026
img

CYBERJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meraih dua anugerah sempena Program Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2026.

SPRM dalam kenyataan, memaklumkan kejayaan dirangkul pada program berlangsung semalam itu membabitkan pengiktirafan dalam aspek pengurusan kewangan serta inovasi menerusi projek yang dilaksanakan jabatan berkenaan.

"Anugerah pertama ialah Anugerah Penarafan Amalan Terbaik Pengurusan Perakaunan PTJ JPM Tahun 2025 hasil pencapaian dalam aspek pengurusan kewangan.

"Selain itu, Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM turut meraih pingat gangsa bagi Anugerah Inovasi JPM 2026 menerusi projek Inovasi Bilik Mesyuarat Pintar.

"Projek berkenaan sebelum ini menerima Anugerah Khas Pilihan Juri iaitu Innovative Meeting Room dalam Anugerah Inovasi SPRM 2025," menurut kenyataan itu.

Antara kriteria penilaian termasuk pematuhan tatacara kewangan menerusi naziran, prestasi bil dan penghantaran Dokumen Akaun Terimaan (DAT), sijil pengesahan baki serta Kertas Kerja Sokongan (KKS) penutupan akaun latihan kewangan dan akaun yang dilaksanakan di SPRM.

Anugerah disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada dua wakil SPRM, iaitu Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Idris Zaharudin yang mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Timbalan Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan (BKAP), Aiwan Ismail.

Sementara itu, Idris berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen SPRM terhadap pengurusan tadbir urus kewangan dan inovasi.

"Kejayaan ini sebagai tanda komitmen pengurusan tertinggi SPRM serta sokongan warga SPRM dalam memastikan kepelbagaian peranan serta pengurusan kewangan yang terancang agar ianya dapat menjadi contoh kepada masyarakat mengenai tahap tadbir urus yang baik," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel