SPRM rakam keterangan CFO syarikat TH selama 7 jam, esok kembali bersambung

Tarikh: 06/08/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam keterangan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat milik Tabung Haji (TH) selama tujuh jam dan akan kembali bersambung esok.

Bekas pegawai kanan berusia 60 tahun itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai kira-kira RM370 juta.

Sebelum itu, dia tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 10 pagi tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Rakaman percakapan beliau pada hari ketiga sudah selesai kira-kira jam 5.30 petang dan esok akan bersambung untuk hari keempat," katanya.

BH sebelum ini melaporkan, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat milik badan berkanun ditahan SPRM susulan siasatan terhadap laporan RCI Tabung Haji.

Dua individu masing-masing berusia 68 dan 60 tahun itu ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel