SPRM rekod RM29 bilion lucut hak harta, penalti

Tarikh: 09/10/2023
img

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan prestasi memberangsangkan dengan tindakan proaktif dalam melaksanakan pelbagai operasi, tangkapan dan pertuduhan di mahkamah.

Ini termasuk kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam dengan sebanyak 776 Kertas Siasatan (KS) dibuka dan 869 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebanyak 326 pertuduhan bagi pelbagai kesalahan dipertuduhkan di mahkamah.

“Statistik pelucuthakan dan pemulihan aset menunjukkan rekod sangat cemerlang pada tahun ini dengan nilai pelucuthakan harta sebanyak RM12,891,268.66 dan kompaun berjumlah RM4,003,000.

“Jika dikira sejak 2018 hingga sekarang, jumlah keseluruhan pelucuthakan harta dan penalti yang direkodkan SPRM berjumlah

lebih RM29 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-56, di sini hari ini.

Azam berkata, strategi SPRM adalah mengurangkan ketirisan di tiga sektor rasuah iaitu rasuah di sektor penguatkuasaan, perolehan dan grand corruption.

Jelasnya, perubahan kaedah penyiasatan kepada intelligence base investigation telah membuahkan hasil yang mana tidak lagi bersandarkan kepada kaedah reactive semata-mata. “Perubahan kepada landskap politik, ekonomi dan sosio budaya masyarakat harus menjadi keprihatinan warga SPRM dan tidak boleh ditakuk lama dengan mendabik dada bahawa kononnya kita adalah the best ataupun kaedah kita ini tiada perlu perubahan.

“Orang lama tidak boleh mengatakan cara lama berkesan dan orang baharu pula perlu mempelajari orang lama dan meneroka kepada perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, ke arah untuk membanteras ketirisan, SPRM akan memfokuskan kes-kes skala besar dan berkepentingan awam.

Katanya, penjenayah-penjenayah yang mencuri atau menghilangkan hasil kerajaan, mereka yang ada kuasa menyalahgunakan kuasa perlu dihukum sehinggakan mereka dibangkrapkan supaya harta negara dikembalikan.

“Sehubungan dengan itu, kaedah penyiasatan yang berbentuk Financial crime perlu dipergiatkan dan pegawai-pegawai SPRM perlu memahami undang-undang jenayah dan juga kaedah penyiasatan yang lebih bersistematik.

“Untuk itu, saya telah mengarahkan agar Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bahagian Siasatan dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) berganding bahu melatih pegawai-pegawai SPRM dengan kaedah-kaedah baharu ini, tanpa melupakan kaedah-kaedah lama yang masih relevan,” katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia

MACC FM
My Anti-Corruption Channel