ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang pegawai polis percubaan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai RM2,000 bulan lepas.
Menurut sumber SPRM, suspek yang bertugas di sebuah balai di negeri ini meminta suapan terbabit sebagai balasan kerana melepaskan seorang tahanan daripada jaminan polis.
Sumber itu berkata lelaki berumur 30-an itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi semalam di balai suspek bekerja.
"Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada Jun lepas dan siasatan awal mendapati suspek meminta rasuah kira-kira RM2,000 daripada seorang tahanan bagi membolehkannya dilepaskan daripada jaminan polis, sedangkan tiada bayaran yang perlu dijelaskan," katanya hari ini.
Sumber itu berkata perintah reman selama tiga hari hingga Sabtu terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Noor Fazlina Musa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.