SPRM reman pendakwah bebas kes salah guna kuasa dana RM600,000

Tarikh: 05/02/2026
img

ALOR SETAR: Dua individu termasuk seorang pendakwah bebas direman sehari hari ini untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes salah guna kuasa meluluskan dana berjumlah RM600,000.

Majistret Noorfazlina Musa membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kedua-dua suspek.

Menurut sumber, suspek seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an telah ditahan jam 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.

Kelulusan pembayaran RM600,000 itu adalah sebagai balasan bayaran bagi mengumpul dana sebuah institusi pendidikan dan dakwah.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek, masing-masing adalah Pengarah Urusan Syarikat dan Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu sekitar September 2018.

"Suspek utama seorang lelaki dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya telah bersubahat bersama suspek kedua, seorang wanita dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 kepada suspek utama sebagai bayaran pengumpul dana tanpa mendapat kelulusan daripada rakan kongsi lain," katanya

Siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM telah bermula sejak Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel