IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman tiga individu disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan membabitkan tuntutan rawatan kesihatan kira-kira RM53,000.
Sumber berkata, suspek itu membabitkan pengarah, pegawai eksekutif dan pemilik syarikat.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek itu ditahan antara jam 4.50 petang hingga 9.30 malam Selasa lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Katanya, dua suspek terbabit yang juga pasangan suami isteri berusia 40-an, direman tujuh hari hingga 26 Mei ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret A Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi kelmarin.
"Seorang lagi suspek lelaki yang juga pengarah syarikat dalam lingkungan usia 50-an pula direman lima hari hingga 24 Mei ini," katanya.
Menurut sumber lagi, hasil siasatan awal mendapati semua suspek terbabit disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada 2024 hingga 2025.
"Ketiga-tiga suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi menuntut perbelanjaan rawatan pemulihan fizikal, namun rawatan itu tidak dilakukan," katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber : Berita Harian Online