SPRM Sabah tahan kakitangan jabatan kerajaan negeri disyaki terima rasuah RM3,000

Tarikh: 26/02/2026
img

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai menerima kira-kira RM3,000 sebagai balasan meluluskan Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada sebuah syarikat kontraktor.

Suspek ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada 2024 dengan menerima wang rasuah secara berperingkat.

"Wang berjumlah kira-kira RM3,000 itu dipercayai dipindahkan melalui dua transaksi secara dalam talian ke akaun peribadi suspek serta akaun milik anaknya," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dilepaskan selepas keterangan diambil.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel