PETALING JAYA: Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan bertemu dengan seorang peguam berkait kes beberapa Adun membincangkan rasuah melibatkan lesen projek.
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata peguam itu memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat kepada pegawainya, yang mana kedengaran beberapa orang didengar sedang berbincang tentang wang, menurut laporan Malaysiakini.
“Peguam membayangkan yang anak guamnya sedia untuk memberikan sejumlah bukti kepada kita, namun dia mahu SPRM menandatangani persetujuan menyatakan dia (anak guam) tidak akan diletakkan di bawah siasatan,” katanya.
Namun, pegawainya tidak setuju kerana ia bukan prosedur undang-undang. Azam berkata, SPRM tidak boleh memberikan jaminan imuniti bertulis tanpa maklumat terperinci berkenaan perlakuan salah tersebut.
Katanya, saksi-saksi digesa memfailkan aduan rasmi, sekali gus membolehkan mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Lapan video dilaporkan muncul memaparkan perbincangan didakwa berkait rasuah antara ahli perniagaan dan beberapa Adun melibatkan lesen projek.
Sumber: Free Malaysia Today