PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima beberapa dokumen serta rakaman video daripada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan berhubung siasatan kes melibatkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata Rafizi yang hadir bersama-sama lima peguamnya telah menyerahkan beberapa dokumen dalam bentuk cetakan serta rakaman video dalam alat pemacu kilat USB (pendrive) yang dikatakan berkaitan dengan syarikat ARM Limited UK.
"Serahan dokumen berkenaan dibuat secara sukarela bertujuan membantu siasatan yang dilakukan terhadap beliau (Rafizi)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafaz berkata SPRM turut mengambil keterangan tambahan daripada Rafizi dan proses tersebut selesai kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Terdahulu, Rafizi tiba di SPRM di sini kira-kira pukul 10 pagi untuk menyambung keterangan berhubung siasatan kes terbabit.
Sebelum ini, Rafizi dipanggil memberikan keterangan selama empat hari bagi membantu siasatan kes pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan syarikat ARM Limited dari United Kingdom.
Setakat ini, 22 saksi telah dipanggil termasuk penganalisis politik Chai Jin Shern atau James Chai bagi membantu siasatan dengan dua lagi akan dipanggil melibatkan masing-masing seorang di Taiwan dan di Malaysia.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari susulan aduan daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
– BERNAMA