Beliau berkata, SPRM menggesa penubuhan Unit Integriti di setiap PBT diberikan keutamaan.
"Unit ini penting untuk membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika di peringkat agensi.
"Bagi tujuan ini, Unit Integriti perlu melaksanakan enam Fungsi Teras UI dengan berkesan iaitu Tadbir Urus; Pengukuhan Integriti; Pengesanan dan Pengesahan; Pengurusan Aduan; Pematuhan; dan Tatatertib," katanya.
Azam berkata, dalam hal ini, Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM akan membantu menyelaras pelaksanaan fungsi UI di samping menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan UI bagi agensi-agensi awam.
"Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), sebuah institusi bertaraf antarabangsa di bawah SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan program latihan berkaitan pencegahan rasuah dan integriti.
"SPRM mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi berterusan daripada agensi-agensi awam untuk melaksanakan inisiatif yang digariskan dalam NACS," katanya.
Menurutnya, melalui usaha ini, kita dapat memperkukuh imej negara dan merealisasikan aspirasi bersama untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Sumber: Harian Metro