SPRM sedang teliti kesalahan jenayah laporan audit HRD Corp

Tarikh: 09/07/2024
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti keseluruhan dokumen membabitkan isu pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) untuk mencari kewujudan elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa.

SPRM berkata, selain kesalahan jenayah, pihaknya juga akan meneliti isu-isu kelemahan tatakelola yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Agensi itu juga mengesahkan, pihaknya sudah menerima maklumat serta beberapa dokumen yang berkaitan laporan audit terhadap HRD Corp.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 semalam dilaporkan berkata, KESUMA disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hari ini mengarahkan Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp supaya membuat laporan kepada SPRM.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai proses pengauditan ketika mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember tahun lalu dan mengarahkan KESUMA serta HRD Corp memberikan kerjasama penuh.

Sumber : Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel