SPRM serbu premis tayar terkenal, didakwa terbabit aktiviti penyeludupan dan pemalsuan dokumen

Tarikh: 30/09/2025
img

SHAH ALAM: Sebuah kedai tayar yang sering menawarkan harga murah berbanding pasaran di bandar raya ini, dikesan terbabit dengan aktiviti penyeludupan dan pemalsuan dokumen sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian.

Premis yang terletak di Kota Kemuning itu menjadi antara 23 lokasi yang diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini, susulan pendedahan BH mengenai isu 'tayar terbang' sehingga menyebabkan berlakunya pengabaian keselamatan di jalan raya.

Serbuan yang dijalankan menerusi operasi bersepadu iaitu Ops Grip diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Putrajaya dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di beberapa kawasan termasuk sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, hari ini.

Wartawan BH yang menyertai serbuan itu, mendapati kedai terbabit menyimpan ribuan tayar berkenaan dalam beberapa gudang yang dibuat daripada kontena.

Kontena itu disusun seperti menara dan turut dilengkapi tangga bagi memudahkan pekerja membawa turun bekalan tayar yang diingini pelanggan.

BH difahamkan, kedai itu sering menjadi pilihan pengguna kenderaan khususnya penduduk di sekitar Lembah Klang kerana tawaran harga yang lebih murah berbanding harga di premis lain.

Sebagai contoh, tayar yang dikeluarkan oleh syarikat berpangkalan di Perancis, dijual bawah RM650 sedangkan jika di premis lain ia dijual melebihi RM750 bagi setiap unit.

Tinjauan BH turut mendapati, selain deretan tayar yang dipamerkan untuk pelanggan, kawasan sekitar kedai turut menempatkan beberapa kontena sarat dengan stok tayar.

Antara yang menarik perhatian ialah sebuah struktur empat tingkat dibina menggunakan kontena yang dipenuhi tayar. Setiap tingkat menara berkenaan padat diisi dengan tayar yang disusun rapi seolah-olah rak buku gergasi.

Di hadapan kedai pula terdapat sebuah gudang khas yang menempatkan lebih banyak tayar, selain dilengkapi mesin pengangkat industri dipercayai digunakan untuk menguruskan stok dalam jumlah besar.

Tidak terhenti di situ, lambakan tayar turut ditemui di tingkat atas premis berkenaan, menunjukkan setiap ruang bangunan digunakan sepenuhnya untuk tujuan penyimpanan.

Serbuan turut diperluaskan ke sebuah kawasan perindustrian berhampiran Shah Alam, membabitkan dua bangunan berasingan.

Bangunan pertama menyimpan longgokan tayar baharu, selain penemuan pelekat label tayar berjenama antarabangsa yang masih bertimbun dan belum dilekatkan. Antara label itu termasuk maklumat teknikal berkaitan saiz, indeks kelajuan, tahap cengkaman serta kecekapan bahan api.

Bangunan kedua pula menempatkan pejabat operasi selain ratusan tayar yang disusun padat sehingga hampir memenuhi ruang.

Difahamkan, dua bangunan itu berfungsi khusus sebagai pusat penyimpanan, manakala operasi perniagaan utama dijalankan di Puchong.

Sebelum ini, laporan eksklusif BH mendedahkan pengabaian aspek keselamatan mekanikal kenderaan khususnya membabitkan isu tayar menjadi antara punca utama kemalangan ngeri di negara ini.

Walaupun kejadian 'tayar terbang' sering dilaporkan, namun Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Permotoran Persatuan Pakar Keselataman Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri menyifatkan tindakan pencegahan oleh pihak berkuasa dilihat masih hambar.

Susulan itu, sumber SPRM dilaporkan berkata, terdapat kemasukan tayar import mencecah 300 kontena setahun yang ada diantaranya mungkin tidak selamat atau tidak sesuai digunakan di negara ini, sekaligus menimbulkan isu keselamatan jalan raya.

BH difahamkan, hasil kerajaan juga dianggarkan turut terjejas sehingga RM70 juta setahun susulan kemasukan kira-kira 100,000 tayar dengan harga purata RM1,600 bagi kegunaan kenderaan berat.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel