KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat 20 projek kerajaan Selangor, yang dipercayai ada kaitan dengan rasuah dalam siasatan kes Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pada masa sama, pihaknya juga sedang melihat kepada lima syarikat yang dikatakan sahamnya dipegang beberapa individu termasuk ahli politik yang dikaitkan dengan kes itu.
"Saya tidak boleh namakan projek berkenaan. Sudah tentu ia membabitkan kerajaan negeri. Jika bukan, ia tidak menjadi perhatian saya.
"Jika projek kerajaan negeri dan Persekutuan, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mendapat habuan itu dan ia adalah satu kesalahan rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Bank-bank Komersial di sini, hari ini.
Selain itu, Azam turut memaklumkan, SPRM menyita wang berjumlah RM600,000 yang ditemui dalam serbuan di enam premis di Lembah Klang yang digeledah di semalam, berhubung siasatan kes berkenaan.
"Kita jumpa wang itu di sebuah kediaman, yang disyaki untuk ahli politik berkenaan," katanya.
Ditanya mengenai kriteria 'rumah selamat' yang menjadi lokasi simpanan wang yang ditemui membabitkan kes itu, Azam berkata, pihaknya tidak pernah melabelkan premis itu sebagai "rumah selamat."
"Mereka yang mengatakan ia adalah rumah selamat, bukan kita.
"Terma 'rumah selamat' hanya digunakan oleh komuniti perisikan. Itu saja yang boleh saya katakan," katanya.
Dalam serbuan Sabtu lalu, SPRM menjumpai SGD1.529 juta di sebuah lokasi yang dirujuk sebagai 'rumah selamat'.
Pada Isnin, Azam berkata, pegawainya juga menemui dua rumah selamat lain, di mana wang didakwa disimpan, salah satunya berjumlah kira-kira SGD74,000, iaitu RM243,000 mengikut kadar semasa.
Katanya, SPRM juga menemui kira-kira RM78,000 di pejabat lain, selain menerima maklumat yang sebahagian wang sudah dilaburkan di Singapura dan mungkin terdapat akaun lain di bank yang berbeza.
Sumber: Berita Harian