KUALA LUMPUR: Pegawai kanan daripada empat bank tempatan berada dalam pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bersekongkol dengan syarikat pengedaran dan logistik membabitkan skandal pinjaman RM60 juta.
Pegawai berkenaan dipercayai menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman tanpa usaha wajar yang sepatutnya dilakukan mereka.
Difahamkan pemohon pinjaman menubuhkan syarikat milikan tunggal dan invois palsu untuk memalsukan pendapatan dan keuntungan mereka, sebelum memberi rasuah kepada pegawai pinjaman termasuk pengurus cawangan dan ketua bahagian, bagi memudahkan kelulusan permohonan pinjaman.
Mereka mendakwa antaranya mencatatkan keuntungan sebanyak RM130 juta dalam tempoh 12 bulan antara Mac 2021 hingga Mac 2022.
SPRM sedang menyiasat dakwaan bahawa pasangan yang terbabit dalam kes itu, iaitu pemegang saham tunggal dan pengarah syarikat bersama akauntan serta juruauditnya, dipercayai memalsukan dokumen.
Melalui pinjaman itu, kedua-dua individu terbabit didakwa memperoleh sebuah rumah mewah bernilai lebih RM7.5 juta dan sebuah kereta mewah.
Menurut sumber, jumlah pinjaman syarikat meningkat dalam tempoh enam bulan iaitu daripada hanya RM5.8 juta pada September 2022 kepada RM33.3 juta pada Mac lalu sebelum syarikat itu diisytiharkan muflis pada 19 Mei lalu.
Katanya, walaupun prosedur pembatalan syarikat masih berjalan, jumlah pinjaman terus meningkat kepada RM43 juta pada 30 Jun lalu.
"Daripada jumlah ini, mereka mendakwa RM36 juta sudah diluluskan dan diagihkan. Ada lagi RM27.1 juta yang sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada bank lain.
"Syarikat ini jelas tidak mempunyai keupayaan untuk membayar balik jumlah hutang bagi pinjaman yang diberikan bank. Tujuan mereka mendapatkan pinjaman dalam jumlah besar itu hanyalah untuk melarikan diri bersama wang berkenaan," katanya kepada NST.
Sumber berkata, kesan daripada tindakan itu, bank dan pemegang saham bank akan mengalami kerugian besar akibat kegagalan syarikat membayar pinjaman yang diperoleh melalui penipuan dan sogokan yang diberikan kepada pegawai bank.
Katanya, sejumlah RM7 juta sebulan juga dimasukkan ke dalam akaun bank semasa syarikat tahun lalu oleh sekurang-kurangnya empat syarikat baharu yang ditubuhkan pada Jun 2022.
Syarikat itu mempunyai modal pendahuluan sebanyak RM1 dan pemegang saham hanya berusia 29 tahun.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berkenaan.
Sumber: Berita Harian