SPRM siasat secara adil, telus dan berani - KP

Tarikh: 03/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, menegaskan pendiriannya untuk terus menjalankan siasatan secara adil, telus dan berani tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak.

Abdl Halim menegaskan yang prinsip tanpa rasa takut atau pilih kasih (without fear or favour) terus menjadi pegangan agensi itu bagi memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara profesional tanpa tekanan atau rasa takut.

Katanya, pendirian itu penting bagi mempertahankan integriti, imej dan wibawa SPRM sebagai agensi penguatkuasaan antirasuah negara, selain memastikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi itu tidak terhakis.

"SPRM perlu bertindak sebagai sebuah entiti yang berani dan bebas daripada sebarang tekanan atau rasa takut.

"Setiap siasatan dijalankan secara adil dan telus tanpa melepaskan mana-mana pihak yang terbabit, sekali gus mempertahankan keutuhan organisasi supaya tidak tercemar," katanya.

Abd Halim berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Pejabat Menteri, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.

Pertemuan hampir sejam itu turut membincangkan isu perundangan dan inisiatif SPRM dalam memperkukuh agenda antirasuah negara.

Kunjungan berkenaan adalah sebahagian daripada siri pertemuan strategik Abd Halim selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu pada 13 Mei lalu.

SUMBER: BERITA HARIAN





MACC FM
My Anti-Corruption Channel