SPRM sudah panggil seorang saksi, 9 lagi tunggu giliran

Tarikh: 04/12/2024
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan sudah mengenal pasti sembilan lagi individu untuk dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan ke atas Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


Menurut satu sumber kepada BH Sukan, setakat ini SPRM sudah pun merekodkan keterangan daripada seorang saksi.


"Setakat ini baru rekod keterangan seorang saksi. Sembilan lagi individu dikenal pasti akan dipanggil untuk membantu siasatan," kata sumber itu.


Terdahulu, BH Sukan melaporkan gara-gara surat layang, BAM kini disiasat oleh SPRM.


Menurut sumber yang boleh dipercayai, surat layang yang dihantar kepada SPRM itu mendakwa terdapat unsur salah laku seorang pegawai tinggi BAM yang didakwa mengambil elaun tanpa kelulusan Ahli Majlis badan induk itu.


Katanya, seramai lima pegawai daripada SPRM hadir di pejabat BAM di sini pada Selasa lalu bagi meneliti beberapa dokumen termasuk minit mesyuarat bagi tujuan siasatan.


Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan dakwaan berkenaan sengaja ditimbulkan kerana faktor tidak puas hati dan dengki selain mahu mencemarkan reputasi BAM menjelang pemilihan pucuk pimpinan tertinggi badan induk itu yang dijangka berlangsung pada April atau Mei tahun depan.


BAM dalam satu kenyataan, hari ini juga mengesahkan pegawai SPRM telah mengunjungi pejabat badan induk di Bukit Kiara di sini, minggu lalu bagi mendapatkan maklumat tertentu.


Kenyataan itu menjelaskan badan induk itu memberikan kerjasama penuh sepanjang kehadiran pegawai berkenaan.


Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan berhubung maklumat yang diminta oleh SPRM.


Sementara itu, satu sumber kepada BH Sukan mengesahkan SPRM sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah laku membabitkan pegawai tinggi persatuan itu.


Bagaimanapun, BH Sukan sedang mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan itu daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel