SPRM syak wujud sistem `hawala' dalam kes rasuah berkaitan kelulusan VLN

Tarikh: 10/08/2023
img

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, hari ini, mendedahkan kewujudan sistem 'hawala' berhubung kes rasuah berkaitan kelulusan Visa Luar Negara (VLN) warga Bangladesh memasuki Malaysia.

 

Sistem hawala merujuk kepada penghantaran wang melalui kaedah 'bawah tanah' tanpa membabitkan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

 

Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran pemakaian kamera badan dan jaket SPRM di sini, Azam berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa transaksi wang yang disyaki dibayar bagi tujuan perolehan visa pelancong yang disalahgunakan untuk memasuki negara.

 

"Kami juga mengesyaki terdapat sejumlah besar wang yang disalurkan melalui sistem hawala di beberapa tempat," katanya.

 

VLN adalah visa lawatan sosial untuk pelancong luar memasuki Malaysia bagi tempoh tertentu dan menurut undang-undang negara, pelancong Bangladesh dibenarkan menetap di Malaysia selama 30 hari dan tidak layak didaftar untuk sistem permit kerja.

 

Azam berkata, siasatan lanjut SPRM mendapati lambakan pekerja Bangladesh di Malaysia adalah menerusi sistem VLN yang disalahgunakan untuk bekerja dalam negara serta tidak melalui saluran pengambilan pekerja asing yang betul.

 

Isu penyelewengan permohonan VLN oleh warga Bangladesh mendapat liputan meluas sejak April lalu susulan penahanan dua pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) yang ditempatkan sementara untuk bertugas di Pejabat Atase Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh.

 

Seorang pegawai penguat kuasa yang pernah bertugas di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh adalah antara dua individu ditahan kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM100 juta sejak 2021.

 

Siasatan mendapati pegawai itu dipercayai menerima bayaran sekitar RM1,363 (AS$300) ke RM2,272 (AS$500) bagi setiap kelulusan permohonan VLN membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105.

 

 

Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel