PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kepincangan dalam aspek tatakelola susulan siasatan ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd dan mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada pihak terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata perkara itu adalah prosedur biasa dilakukan apabila sesuatu siasatan dijalankan menemui kekurangan dalam aspek tatakelola.
"Ya, kebiasaannya apabila kita menyiasat, tatakelola itu adalah sebahagian daripada aspek penyiasatan kita.
"Adakala tatakelola itu tidak menyebabkan pertuduhan dikenakan kepada tertuduh di mahkamah, tetapi ia boleh menjadi penambahbaikan," katanya pada sidang media Majlis Sambutan ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan SPRM di sini, hari ini.
UiTM Holdings sebelum ini dilaporkan mencatat kerugian sebelum cukai terkumpul kira-kira RM157 juta bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Susulan itu, SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan yang dilaksanakan sejak 2023 termasuk meneliti isu berkait projek solar 50 megawatt di Gambang, Pahang serta kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan.
Siasatan SPRM turut memberi fokus kepada beberapa isu khususnya membabitkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga kerugian jutaan ringgit.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd, Azlizan Fadzil, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM37.37 juta, sembilan tahun lalu.
Abd Halim berkata, SPRM akan mengesyorkan beberapa langkah penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap apa juga kepincangan yang ditemukan sepanjang proses siasatan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas secara spesifik apa atau jumlah kepincangan tatakelola yang ditemui sepanjang proses siasatan berkenaan.
Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes itu, beliau menegaskan siasatan hanya menjurus kepada seorang suspek, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings yang dituduh di mahkamah hari ini namun akan meneruskan siasatan jika ada bukti baharu membabitkan individu lain.
"Penyiasatan dijalankan oleh SPRM sejak 2023, kita akui penyiasatan itu agak lama, namun penyiasatan itu adalah satu proses yang berterusan, dia tidak ada had masa.
"Jadi untuk (kes) UiTM Holdings ini, penyiasatan kita menjurus kepada seorang suspek yang telah dituduh. Setakat ini, penyiasatan kita itu sahaja. Namun, jika terdapat bahan bukti yang baru dan sebagainya, kita akan teruskan menyiasat," katanya.
Sumber : Berita Harian Online