SPRM tahan 2 beranak disyaki terbabit sindiket pengeluaran IMM13

Tarikh: 29/07/2024
img

KOTA KINABALU: Seorang wanita dan anak perempuannya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit sindiket pengeluaran pas lawatan IMM13 yang dipercayai didalangi beberapa petugas sebuah agensi penguat kuasa di Sandakan. Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 50-an dan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sandakan, kira-kira jam 7 malam tadi.


Menurut sumber, dua beranak itu disyaki bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan pelanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian dari Filipina yang berselindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an. "Hasil siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2022 dan membabitkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM20,000," katanya.


Perintah reman selama tujuh hari hingga 2 Ogos depan terhadap dua beranak terbabit dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, pagi tadi. Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat susulan penahanan berkenaan.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel