SHAH ALAM: Dua ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah RM105,000 berkaitan kes surat jaminan kemasukan warga asing ke Malaysia, tengahari tadi.
Mereka ditahan di pejabat SPRM Selangor di sini, dan pejabat SPRM Pahang sekitar jam 1 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan.
Kedua-duanya dipercayai menerima rasuah bagi tujuan mendapatkan surat jaminan kemasukan warga asing ke Malaysia untuk bekerja sebagai pelaut sedangkan mereka bukan pekerja bidang itu.
Sumber berkata suspek pertama berusia 30an adalah anggota penguat kuasa manakala suspek kedua yang berusia 40an adalah pemilik syarikat.
Katanya, kedua-dua individu berkenaan dipercayai melakukan kesalahan berkenaan dari September hingga Disember 2022.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) & 17 (b) Akta SPRM 2009.
Katanya, kedua-dua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk permohonan reman.
Sumber: Berita Harian