GEORGETOWN: Seorang anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, hari ini, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM11,000 sebagai balasan melindungi pekerja asing daripada diambil tindakan undang-undang.
Menurut sumber, suspek lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara November 2024 hingga April 2025.
"Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan sebanyak tujuh kali melalui transaksi pemindahan wang ke dalam akaun Touch 'n Go miliknya," kata sumber itu lagi.
Sementara itu Timbalan Pengarah Operasi SPRM Pulau Pinang, Mustafa Kamal Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Sumber : Berita Harian Online