SPRM tahan bekas pegawai khas menteri minta RM25,000 lulus surat permohonan warganegara

Tarikh: 13/07/2023
img

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah kira-kira RM25,000 sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.

 

Penahanan suspek lelaki  berusia lingkungan 40an itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan  di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.Februari 2021.

 

Satu sumber memberitahu, suspek tersebut yang merupakan bekas pegawai khas seorang menteri pada 2019 dikatakan meminta wang rasuah tersebut daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan terhadap anak kandungnya.

 

“Pada bulan Jun lalu, suspek menghubungi individu terlibat yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015.

 

“Suspek memaklumkan bahawa surat kelulusan permohonan taraf warganegara sudah ada padanya dan meminta individu terlibat membayar wang berjumlah RM25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan tersebut,” kata sumber itu.

 

Tambah sumber, penahanan suspek dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri agar SPRM menyiasat lanjut berhubung amalan rasuah oleh segelintir pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara.

 

Susulan penahanan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 14 Julai setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

 

 

Sumber: Utusan Malaysia

MACC FM
My Anti-Corruption Channel