KLANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang juruteknik kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM1,500 daripada seorang pemilik rumah sebagai balasan tidak mengeluarkan saman atas kesalahan mencuri bekalan elektrik.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 20an itu merupakan kakitangan syarikat vendor kepada sebuah syarikat utiliti tenaga elektrik dan dia ditahan kira-kira jam 5.30 petang tadi di sebuah pangsapuri di Klang, Selangor.
“Suspek disyaki menghubungi seorang lelaki yang menyatakan meter di rumahnya telah terlibat dengan kecurian elektrik dan boleh dikenakan denda sebanyak RM16,000.
“Sebagai balasan untuk tidak dikenakan sebarang denda, suspek telah meminta wang sebanyak RM1,500. Bagaimanapun suspek telah menerima RM1,000 setelah lelaki terlibat meminta agar nilai sogokan tersebut dikurangkan,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi tujuan permohonan reman jam 9 pagi esok.
Sumber: BuletinTV3