SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu siasatan penyelewengan hasil kutipan fi pemprosesan pelan bangunan RM63,000.
Wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi tadi ketika hadir ke pejabat SPRM Selangor untuk memberikan keterangan.
Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2023 dengan mengeluarkan resit disyaki palsu bagi bayaran permohonan pelan bangunan.
Bagaimanapun, wang kutipan berkenaan dipercayai tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun hasil PBT tempat suspek bertugas.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan kesalahan menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu dengan niat untuk memperdaya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran palsu, jika dapat dinilai, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sumber; Berita Harian Online