SPRM tahan pegawai penyiasat minta, terima suapan RM3,000

Tarikh: 21/11/2025
img

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyiasat sebuah agensi penguatkuasaan ditahan kerana disyaki meminta dan menerima suapan RM3,000 bagi melepaskan suspek.

Menurut sumber, lelaki berusia 40-an itu ditahan di pejabatnya di sini, pada jam 3.30 petang semalam.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pegawai penyiasat agensi penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah.

"Suspek dipercayai meminta suapan daripada seorang individu sebagai balasan untuk menolong melepaskan abangnya daripada tindakan undang-undang membabitkan satu siasatan kes penyalahgunaan dadah," katanya hari ini.

Menurutnya, mahkamah membenarkan suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta wang suapan berkenaan daripada seorang individu yang datang berjumpa dengannya pada 18 November lalu susulan tangkapan membabitkan abangnya dalam satu kes penyalahgunaan dadah.

"Keesokannya, suspek mengarahkan individu itu untuk datang dengan membawa wang kira-kira RM1,500 serta mengambil abangnya yang ditahan sebelum itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel