PUTRAJAYA: Seorang pemilik syarikat penyelenggaraan dan pembersihan direman empat hari sehingga Jumaat ini kerana disyaki memberi suapan kereta mewah, bagi mendapatkan projek pengurusan kemudahan bernilai RM87 juta membabitkan sebuah kementerian.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada jam 6.50 petang semalam, selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.
"Suspek disyaki memberikan suapan, iaitu kereta mewah bernilai lebih kurang RM200,000 kepada pegawai kanan kementerian terbabit pada tahun ini.
"Ini bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan untuk tempoh lima tahun yang sudah diluluskan pada 2021," katanya
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar selepas SPRM membuat permohonan terbabit di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Sumber: Berita Harian