SPRM tahan pengarah disyaki kemuka dokumen butir matan palsu babit tuntutan RM33,000

Tarikh: 13/08/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pengarah sebuah syarikat yang disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan perjalanan dan juga pembelian pendingin hawa berjumlah kira-kira RM33,000.

Menurut sumber, suspek wanita berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan terbabit dari 2022 hingga 2023.

"Suspek dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan perjalanan dan juga tuntutan pembelian pendingin hawa yang jumlah keseluruhannya kira-kira RM33,000, sedangkan kedua-dua perkara itu tidak dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Sumber: Berita Harian online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel