SPRM tahan pengarah syarikat percetakan berkait tuntutan palsu RM100,000

Tarikh: 19/08/2026
img

MELAKA: Pengarah syarikat percetakan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM100,000 berkaitan buku premium membabitkan bekas pemimpin tertinggi negeri itu.

Perintah reman selama lima hari sehingga 22 Ogos ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, hari ini.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2021 dengan mengemukakan dokumen butiran matan palsu mengenai perkhidmatan mereka bentuk, mencetak dan membekal buku berjumlah kira-kira RM100,000.

"Suspek dipercayai bukan sahaja mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran buku itu, malah pembekalan yang dilakukan juga tidak sempurna," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel