JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang
pengetua sekolah dan ketua pembantu tadbir sekolah kerana disyaki bersubahat
meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM17,000, awal tahun ini.
Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 53 tahun dan
wanita berusia 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM cawangan Kluang kira-kira
jam 7 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.
"Difahamkan, lelaki terbabit telah meminta dan
menerima wang rasuah daripada seorang kontraktor sebagai balasan memberikan
kerja-kerja penyelenggaraan pagar di asrama sekolah kepada syarikat milik
kontraktor tersebut, Januari lalu," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor,Datuk Azmi Alias
ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat
mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.Kedua-dua individu tersebut kemudian
dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sumber: BERNAMA