MELAKA: Seorang pengurus ladang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu melibatkan nilai RM40,000 sejak tiga tahun lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.
Semalam, lelaki itu ditahan pukul 6 petang selepas hadir ke pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan selepas dipercayai menggunakan nama individu lain bagi tujuan membuat tuntutan secara berkala keseluruhannya berjumlah RM40,000.
Perbuatan itu dilakukan sejak November 2020 hingga Januari 2023 dan difahamkan tuntutan itu adalah untuk kepentingan peribadi suspek.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata ketika dihubungi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber: MalaysiaGazette