KUALA TERENGGANU: Seorang penolong tadbir kanan dan isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung kes menyalahgunakan kuasa melibatkan pemberian tender bernilai RM130,000.
Sumber berkata, penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan negeri dipercayai memberikan 70 perolehan pembaikan kenderaan kepada syarikat milik isterinya.
“Dia juga dipercayai mengesyorkan kerja-kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel sebuah koperasi yang mempunyai kepentingan dengan dirinya.
“Lelaki itu merupakan ahli lembaga koperasi merangkap setiausaha jawatan kuasa perdagangan koperasi tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua transaksi pemberian tender itu dilakukan pada 2021 hingga 2022.
Tambah beliau, pasangan tersebut ditahan sewaktu memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini pada pukul 11 pagi semalam.
“Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi proses permohonan reman,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, yang dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan
Sumber: Kosmo